Yang Arif v Yang Amat Berbahagia
Pekung Dr mahathir terbuka lagi. Kali ini Datuk Ian Chin, Hakim Mahkamah Tinggi yg paling kanan di dalam senarai hakim-hakim Mahkamah tinggi di Malaysia telah bersuara.
Kenyataan telah dibuat dari bangku Hakim di dalam posiding rasmi, menjelaskan tekanan yg diterimanya sesudah membuat keputusan berhubung petisyen pilihanraya N22 Bukit Begunan, di mana pilihanraya di kawasan tersebut telah diisytiharkan tidak sah atas sebab wujudnya rasuah, yang menyebabkan wakil BN pada waktu itu menang.
Ulasnya lagi, beliau telah dikecam secara halus oleh Dr Mahathir ketika Mantan PM itu memberi ucapan di Persidangan Hakim-Hakim, di mana dlm ucapannya Dr Mahathir mengingatkan yang Hakim boleh dipecat oleh tribunal. Dr Mahathir juga ada bertanya samada Hakim yg membuat keputusan petisyen pilihanraya (Borneo petition) hadir di persidangan itu.
Yang lebih melucukan, Datuk Ian Chin memeri yang beliau telah diarah untuk mengikuti “boot camp” (ditokok tambah oleh orang ramai sebagai kem ala PLKN) bersama beberapa pegawai undang2, yang antara pengisiannya ialah suatu kuliah oleh pensyarah undang-undang mengenai “kesilapan” penghakiman “Borneo Petition”. Tiada soalan yg diujarkan di akhir kuliah itu, namun ada pegawai undang-undang yang meminta untuk membuat kenyataan. Jelas pegawai tersebut, yang terlintas di benaknya sesudah mendengar kuliah pensyarah tersebut ialah pensyarah tersebut telah menghina mahkamah “contempt of court”.
Aib rasanya mendengar yang Hakim-Hakim kita diperlakukan sebegitu rupa. Hakim-Hakim ini telah bersumpah melaksanakan keadilan dan memartabatkan Perlembagaan, tanpa mengira siapa, juga untuk melaksanakan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.Hakim dilihat sebagai penjaga rakyat andainya ditindas pihak kerajaan. Mereka juga dirujuk sebagai “Judges of His Majesty, Hakim-Hakim kepada DYMM”, bukan Hakim kepada Perdana Menteri.
Dr Abdul Karim Zaidan, ilmuwan dan Ulama terkenal dari Baghdad menyebut di dalam kitabnya Nizam Al-Qadha, bahawa campurtangan Eksekutif (kerajaan) di dalam bidang kehakiman merupakan MAKSIAT (bukan setakat khalwat je yang maksiat).
Kebebasan badan kehakiman juga menjadi faktor pemacu ekonomi negara. Pelabur-pelabur asing akan lebih yakin untuk melabur sekiranya mereka optimis mengenai keadilan yang bakal mereka dapati sekiranya wujud sengketa di antara mereka dengan syarikat tempatan (atau kerajaan). Mereka tidak akan takut melabur sekiranya jaminan keadilan dapat mereka perolehi.
Namun fenomena di kala ini, pelabur memasukkan klausa di dalam kontrak mereka yang memperuntukkan sekiranya wujud perbalahan, perkara tersebut hendaklah dirujuk ke tribunal yang disepakati atau ke mahkamah negara lain, bukan ke mahkamah kita . Ini menunjukkan ketidak percayaan mereka kepada sistem kehakiman Malaysia yang teruk dibantai Dr Mahathir.
Kita bangga, kerana dengan buah fikiran Dr Mahathir, kita ada Proton (yang membuat kereta tempatan, namun harganya sama dengan kereta import), kita juga bangga dengan KLCC (tempat anak bangsa kita rosak, tumbuh bak cendawan lepas hujan), tak kurang juga bangga kita dengan KLIA (yang tak cukup kerusi), juga dengan pencapaian kita dan kelantangan Dr Mahathir di OIC (owhh~! i see). Tak kurang juga megahnya kita dengan syarikat nasional PETRONAS yang mengeluarkan hasil mahsul dari bumi Malaysia (tapi harga minyak naik juga). Tak dilupa juga jasa Yang Berbahagia Tun Mahathir yang mengasaskan UIAM (tempat teman mengaji).
Tapi dalam keasyikan kita dalam kebanggaan dan kemegahan di atas pencapaian kita, kita terlepas pandang yang badan kehakiman kita semakin lesu dan lemah, sedangkan badan kehakiman ialah antara institusi yang diwujudkan oleh Bapa-Bapa Malaysia tatkala terciptanya “PERSEKUTUAN TANAH MELAYU” di peta dunia.
Tunku diakhir hayatnya jelak dengan peri laku Dr Mahathir yang meranapkan badan kehakiman. Tun Suffian, antara arkitek perundangan negara yang juga Bekas Ketua Hakim sehingga akhir hayatnya kesal dengan apa yg menimpa badan kehakiman dan hakim-hakim kita.
Tapi kini Dr Mahathir dan cacai-cacai yang selalu menurut telunjuknya dahulu terpaksa menghadapi kesan perbuatannya sewaktu berkuasa dulu-as what goes around, comes around.